Wednesday, September 9, 2009

Puisi Merdeka


Patriotik


Kita langir keris pusaka
Dari cita semangat waja
Biar membara dupa bangsa
Dengan tangkas pencak
Sang wira di medan laga
Keramat loknya ditempa pandai besi
Ditinta kursani digenggaman pejuang sejati
Hei, tangkas langkahmu di tengah gelanggang
Bagai kijang bermukin di hutan
Kemas pencakmu berhadapan lawan
Bagai sang harimau siaga menerkam
Hei, jati diri kau pasakkan
Musuh kau tumbangkan
Rantai penjajah kau leburkan
Tegak sendi maruah bangsa
Pencak budi memaknakan merdeka
Oleh:Shukri Abdullah


MENCARI DAMAI ABADI
Aku cari bukan harta bertimbun-timbun
Untuk hidup kaya
Aku cari bukan wang berjuta-juta
Untuk hidup bergaya
Aku cari bukan kawan-kawan
Untuk hidup sekadar berfoya-foya
Aku cari mana dia al-Ghazali
Aku cari mana dia al-Shafie
Kita bongkar rahsia kitab suci, Cari pedoman
Kita bongkar rahsia sunnah Nabi, Cari panduan
Aku hidup kerana Dia Rabbi
Dialah teman, Dialah wali
Dia mencukupi, Aku hidup bererti
Menikmati damai abadi.

Monday, September 7, 2009

Semangat patriotik


































1 Malaysia


KETERANGAN LOGO 1 MALAYSIA
Melambangkan visi negara iaitu untuk mewujudkan satu masyarakat yang berpadu dan mempunyai semangat cintakan negara berpandukan Perlembagaan Negara dan Rukun Negara.
Mencerminkan rakyat Malaysia yang saling bekerjasama, bermuafakat, berdikari, berfikir dan menghayati satu visi untuk membina satu Negara Bangsa.
1Malaysia diwujudkan dengan tujuan untuk menyediakan satu forum yang bebas dan terbuka bagi membincangkan tentang perkara yang benar-benar dekat di hati kita sebagai satu bangsa. Ia menyediakan peluang untuk meluahkan dan menerokai kepelbagaian perspektif masyarakat kita. Apa yang menjadikan Malaysia unik adalah kepelbagaian rakyat kita. Matlamat 1Malaysia adalah untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan di dalam kepelbagaian ini yang selama ini menjadi kekuatan kita dan akan kekal sebagai bekalan terbaik kita untuk masa hadapan. Saya berharap agar laman web ini akan menjadi permulaan kepada satu dialog yang penting dan terbuka bagi menerokai identiti, tujuan dan hala tuju kita sebagai rakyat Malaysia. Saya menggalakkan setiap orang daripada anda menyertai saya dalam memberikan takrifan kepada Malaysia kita dan peranan yang perlu kita mainkan untuk masa hadapannya. Setiap kita – di sebalik segala perbezaan kita – berkongsi impian untuk satu masa hadapan yang lebih baik. Setiap kita mahukan peluang, dihormati, persahabatan dan saling memahami.

Saturday, September 5, 2009

Erti Merdeka

Bendera Malaysia


Bendera Malaysia mengandungi 14 jalur merah dan putih (melintang) yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah, tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri - Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu dan Kerajaan Persekutuan.
Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur merah yang kelima itu maknanya perpaduan rakyat Malaysia. Bahagian biru tua itu mengandungi anak bulan tanda Agama Islam - agama rasmi Malaysia. Bintang pecah 14 itu tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan. Warna kuning pada anak bulan dan bintang itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.
Semasa sambutan kemerdekaan ke 40, pada 31 Ogos 1997 Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah memilih nama Jalur Gemilang bagi bendera Malaysia.

Rakyat Malaysia




Tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia mempunyai pelbagai etnik yang tinggal dalam satu kawasan dan berjiran hidup dengan harmoni dan masing-masing bebas menjalankan aktiviti-aktiviti harian mereka tanpa sebarang gangguan.
Hujah ini dapat dikukuhkan lagi apabila pada musim perayaan mereka saling kunjung-mengunjung antara satu sama lain. Apabila tiba musim perayaan Tahun Baru Cina misalnya, rakan-rakan yang berbangsa Melayu dan India juga turut mengunjungi rumah rakan dan jiran yang berbangsa Cina untuk bersama merayakannya Kita sebagai warganegara Malaysia seharusnya bersyukur kerana dikurniakan keharmonian antara kaum maka benarlah jika dikatakan bahawa bandar di Malaysia menonjolkan imej yang baik kepada negara dari aspek perhubungan antara kaum.

Tokoh Negara Dato' Onn Jaafar








Dato' Onn lahir pada tahun 1895. Dato' Onn sejak kecil dipelihara oleh Sultan Ibrahim. Beliau mendapat pendidikan Melayu sebelum melanjutkan pelajaran ke England. Dato' Onn pernah bekerja sebagai wartawan pada tahun 1930. Pada tahun 1934, Dato' Onn menjadi pengarang Lembaga Malaya dan harian Lembaga. Disamping itu, Dato' Onn juga pernah menjadi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor. Semasa Zaman Pendudukan Jepun, Dato' Onn menjadi Ketua Pejabat Kawalan Makanan Negeri Johor.
Pada 1 hingga 4 Mac 1946, 41 persatuan Melayu menghadiri Kongres Melayu pertama yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman. Hasil daripada mesyuarat, sebuah badan yang mewakili orang Melayu menentang Malayan Union akan ditubuhkan. Kongres Melayu Ketiga kemudiannya diadakan di Istana Besar Johor Bahru pada bulan Mei, 1946. Kongres inilah yang melahirkan UMNO dengan Datuk Onn sebagai president yang pertama.
Pada 1 Oktober 1946, Datuk Onn Datuk Jaafar dilantik menjadi Menteri Besar Johor. Tiga tahun kemudian, Datuk Onn meletakkan jawatan Menteri Besar Johor dan menumpukan kepada UMNO. Di bawah kepimpinan Dato' Onn, UMNO telah berjaya memaksa kerajaan British membubarkan Malayan Union dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu. Persekutuan Tanah Melayu 1948 mengekalkan kedudukan Raja-raja Melayu, memperketatkan syarat-syarat kerakyatan dan memberi hak istimewa Melayu.
Dato' Onn bercadang untuk membuka keahlian UMNO kepada semua orang tanpa mengira kaum. Cadangan tersebut ditentangan. Oleh yang demikian, Dato' Onn meletakkan jawatan sebagai president UMNO apabila persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam diadakan pada 25 dan 26 Ogos 1951.Namun begitu, UMNO telah menggabungkan parti-parti yang dianggotai oleh kaum lain iaitu MCA dan MIC menjadi parti Perikatan pada tahun 1955.
Dato' Onn menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya selepas meninggalkan UMNO. Malangnya, parti tersebut tidak mendapat sokongan daripada orang Melayu. Pada tahun 1954, beliau menubuhkan Parti Negara mengganti Parti Kemerdekaan Malaya. Tujuan penubuhan parti tersebut adalah untuk bertanding dalam pilihan raya umum yang pertama pada tahun 1955. Sekali lagi, partinya gagal mendapat sokongan dan tidak memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya umum.
Walau bagaimanapun, beliau masih berusaha untuk mendapatkan tempat dalam politik. Akhirnya, beliau berjaya mendapat satu kerusi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu Selatan dalam pilihan raya Persekutuan 1959. Dato' Onn meninggal dunia pada tahun 1962. Namun, tidak siapa pun yang dapat melupakan jasa Dato' Onn kepada negara dan bangsa. Dato Onn Jaafar mendirikan rumah tangga bersama Datin Halimah Hussein, dan salah seorang daripada anak mereka termasuk Allahyaraham Tun Hussein bin Dato' Onn.
Natijahnya, Dato' Onn mempunyai pandangan yang berbeza dengan ahli-ahli UMNO yang lain. Beliau ingin membuka pintu UMNO kepada kaum-kaum lain menyertainya tetapi ahli-ahli UMNO menggangap tindakan ini sebagai satu ancaman. Walau bagaimanapun, Dato' Onn tetap merupakan seorang yang berani dan berusaha dengan bersungguh-sungguh demi negara dan bangsa.






TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA AL- HAJ





Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj dilahirkan pada 8 Februari 1903 di Alor Star, Kedah. Ayahandanya Sultan Abdul Hamid adalah memerintah Negeri Kedah pada masa itu dan mempunyai beberapa isteri termasuk bonda Tunku bernama Menjalara. Bonda yang dicintai itu adalah seorang keturunan Thai anak kepada Luang Novaborirak (Kleb), seorang pembesar di salah sebuah negeri Shan Utara Thailand.
Ini bermakna Tunku diiahirkan di istana sepertimana beberapa tokoh UMNO yang lain. Beliau putera raja yang mempunyai adik beradik yang ramai dan kaum kerabat yang besar jumlahnya,tetapi tidak dalam lingkungan yang akan mewarisi tahkta kerajaan negeri. Tuhan telah menentukannya menjadi pemimpin rakyat seluruh negara Pemerintahnya itu tidak berdasarkan warisan tetapi atas pemilihan rakyat.
Pada waktu kecilnya belajar di salah sebuah sekolah Melayu di Alor Star sebelum belajar di Bangkok dalam sebuah Sekolah Thai. Kemudiannya Tunku pulang ke Kedah dan menyambung pelajaran di sekolah Melayu pada tahun 1916, sebelum memasuki Penang Free School. Kemudiannya beliau dihantarkan oleh keluarganya ke seberang laut untuk menuntut pelajaran di St. Catherine's College, Universiti Cambridge, England.
Walaupun rekod akademiknya tidak suatu yang boleh dibanggakan, beliau adalah orang Melayu yang pertama dari Kedah yang lulus dari sesebuah Universiti Inggeris pada tahun 1925 dengan mendapat ijazah B.A dalam Sastera. Beliau pulang ke Tanah Melayu dengan ijazah tetapi abang tuanya, menghantarnya kembali ke England supaya belajar undang-undang di Inner Temple. Nampaknya kali ini beliau tidak begitu berminat dalam pelajarannya; hasilnya Tunku gagal dalam peperiksaan dan pulang ke Tanah Melayu pada tahun 1931.
Apabila kembali ke tanahair Tunku bertugas dalam perkhidmatan Awam Negeri Kedah dan antara lainnya pemegang jawatan sebagai Pegawai Daerah di Kulim dan Sungai Patani. Di waktu perang Jepun, Tunku memainkan peranan yang penting menyelamatkan keluarganya. Apabila ayahandanya Sultan Abdul Hamid cuba dibawa oleh British ke Pulau Pinang supaya terselamat dari serangan Jepun, Tunku menculiknya dan membawanya ke Kulim. Di sanalah ayahandanya tinggal bersama-sama rakyat di waktu pendudukan Jepun.









TUN ABDUL RAZAK BIN DATO' HUSSIEN





Tun Abdul Razak Bin Datuk Hussein dilahirkan pada 11hb. Mac, 1922 di Pulau Keladi, Pekan, Pahang. Beliau dibesarkan oleh datuknya di Kampung Jambu, Langgar, Pekan, dalam suasana kampung yang penuh disiplin. Di Sekolah Melayu kampung inilah Abdul Razak mendapat pendidikan awal. Beliau terpaksa berulang-alik sejauh empat batu dengan berjalan kaki dari rumah ke sekolah. Semasa dari sekolah rendah lagi Tun Abdul Razak telah menunjukkan kemampuan yang cemerlang dalam bidang pelajaran. Setiap tahun beliau dapat menggondol hadiah-hadiah dalam kelas.
Sewajarnyalah beliau dihantar ke Maktab Melayu Kuala Kangsar dan kemudiannya ke Raftles College Singapura untuk melanjutkan pelajarannya. Semasa di Maktab Melayu dan Raffles College itu, beliau aktif di dalam persatuan dan aktiviti sukan. Kecekapannya terbukti lagi apabila beliau berjaya menamatkan pengajian undang-undang di Lincoln's Inn, London hanya dalam tempoh lapan belas bulan.
Semasa di London, Tun Abdul Razak tidak mensia-siakan peluang yang diberikan kepadanya. Beliau menggunakan masa yang ada untuk mendalami bidang politik dan memupuk konsep hidup dengan pemikiran yang luas. Aktif dalam kegiatan-kegiatan pelajar, beliau kemudiannya menubuhkan Malayan Forum yang dipengaruhi oieh Parti Buruh British untuk memberi kesedaran politik kepada anak-anak Persekutuan Tanah Melayu. Beliau juga menganggotai Persatuan Fabian dan Malayan Student's Union. Beliau terpaksa kembali ke tanahair dan memberhentikan pelajaran lanjutannya kerana kematian ayahnya pada bulan April 1950. Sekembalinya ke tanahair, beliau berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Pahang sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan dan dua tahun kemudian beliau dilantik menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang. Kejayaan beliau dalam perkhidmatan awam ini selari dengan penglibatan beliau dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.
Empat bulan selepas menganggotai UMNO, beliau dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO. Ini diikuti pula dengan perlantikannya sebagai Ahli Tidak Rasmi Majlis Undangan Persekutuan pada Ihb. Februari, 1951. Dalam tahun 1951 apabila Tunku Abdul Rahman menjadi Yang Dipertua UMNO beliau yang berumur 29 tahun dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Dari sini bermulalah satu percantuman tenaga yang bersejarah dan begitu gigih dalam perjuangan mencapai kemerdekaan dan seterusnya membina sebuah negara yang maju. Tun Abdul Razak juga menjawat jawatan Pemangku Menteri Besar Pahang selama beberapa bulan pada tahun 1955. Sebagai orang nombor dua kepada Tunku, beliau turut membuat draf-draf untuk dimuatkan dalam Perlembagaan Tanah Melayu dan menyertai rombongan menuntut Kemerdekaan ke London pada tahun 1956. Setelah Kemerdekaan dicapai waktu umur Tun 35 tahun bermulalah perkhidmatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri yang menjangkau lebih 13 tahun.
Dalam tempoh ini beliau telah memegang beberapa portfolio, termasuk Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Halehwal Dalam Negeri. Sebagai Menteri Pelajaran yang pertama, beliau telah melahirkan Penyata Razak 1956 bertujuan menyatupadukan rakyat berbagai kaum. Dasar Pelajaran Kebangsaan yang berasaskan Penyata ini adalah mendukung bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Dengan menggunakan perantaraan Bahasa Kebangsaan dan kandungan pelajaran yang sama di semua sekolah, semangat perpaduan dan kerjasama di kalangan murid-murid dari berbagai kaum dapat disemai. Semangat dasar pelajaran inilah yang menjadi asas mewujudkan generasi muda yang sihat dan berpelajaran sebagai sumber tenaga pembangunan.
Konsep demokrasi Tun Razak berasaskan keseimbangan sosial dan ekonomi di mana semua rakyat dapat memainkan peranan dalam kemajuan negara. Pembangunan negara sangat besar ertinya sebab menurut beliau benteng terbesar pertahanan kedaulatan negara bukan sahaja terletak pada pertahanan tetapi yang lebih penting ialah pembangunan. Gerakan pembangunan luar bandar dipelopori oleh beliau dengan langkah pertama ialah merangka satu dasar pembangunan yang meliputi setiap aspek keperluan negara. Ini dikenali sebagai "Buku Merah" yang dilengkapi dengan "Bilik Gerakan" yang mencatitkan butir-butir rancangan setiap daerah termasuk segala kemajuan dan kegagalan rancangan-rancangan tersebut.
Tun telah berusaha dengan gigihnya untuk menjamin supaya pendapatan petani-petani setimpal dengan usaha-usaha mereka. Beliau telah membentuk berbagai agensi Kerajaan untuk mencapai matlamat ini, dan yang paling berkesan ialah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan dan Negeri-Negeri. Kemajuan yang berlipat ganda jelas dari jumlah tanah yang dibuka, jenis-jenis tanaman yang diusahakan, bilangan murid-murid yang disekolahkan, berbagai perusahaan dan kemudahan-kemudahan bantuan kewangan dan teknik yang disediakan. Di waktu Tun jugalah melihat penyertaan orang-orang Melayu dan bumiputra secara lebih pesat dalam perniagaan khasnya dengan penubuhan agensi-agensi seperti MARA, PERNAS dan lain-lain hasil dari cadangan-cadangan oleh Kongres-Kongres Ekonomi Bumiputra yang diadakan.
Pendek kata, segala bentuk pembangunan yang dirasakan oleh rakyat masa kini adalah sebahagian besarnya atas daya usaha dan kemahuan tegas dari Tun Abdul Razak. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan perkembangan politik yang bersejarah di Malaysia walaupun ianya disambut dengan tentangan hebat oleh pihak-pihak yang tertentu. Ketokohan Tun sebagai Menteri Pertahanan mendapat ujian. Akhirnya krisis dapat diselesaikan secara damai. Memang wajarlah Tun dikenali bukan sahaja sebagai Bapa Pembangunan tetapi juga sebagai Bapa Perdamaian.





TUN DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD





Datuk Seri Dr. Mahathir bin Mohamad dilahirkan pada 20hb. Disember, 1925 bersamaan 4 Jamadilakhir 1344, di No. 18, Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Star, Kedah. Ayahnya, Mohamad bin Iskandar adalah guru bahasa bahasa Inggeris, dikenali dengan panggilan "Master", juga adalah Guru Besar pertama Sekolah Inggeris di Alor Star, sekarang dikenali sebagai Maktab Sultan Abdul Hamid. Antara murid-murid ayahnya termasuklah Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Dr. Mahathir adalah anak bongsu dari sembilan adik beradik (lima lelaki dan tiga perempuan) Ibunya, Wan Tempawan binti Wan Hanafi mempunyai kaitan keturunan dengan Wan Mat Saman, iaitu bekas Menteri Besar Kedah yang berusaha membangunkan pertanian di Kedah melalui terusan yang terkenal dengan nama 'Terusan Wan Mohamad Saman' (Wan Mohamad Saman Canal atau Sungai Korok).
Dr. Mahathir mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak dan kemudiannya di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Star di mana beliau tamat pelajaran menengah di peringkat Senior Cambridge. Pada tahun 1948, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Universiti Malaya, Singapura dan lulus dengan Ijazah MBBS pada tahun 1953.
Setelah lulus, Dr. Mahathir bertugas sebagai doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang. Pada tahun 1954, beliau dilantik menjadi pegawai perubatan dan pernah bertugas di Hospital Besar Alor Star, Pulau Langkawi dan Perlis. Pada tahun 1957, beliau meninggalkan perkhidmatan perubatan dan membuka kliniknya sendiri yang dikenali sebagai MAHA Klinik, mula-mula di Jalan Tunku Ibrahim dan kemudian berpindah ke Pekan Melayu, Alor Star. Ini merupakan klinik anak Melayu yang pertama di Alor Star. Penglibatannya dalam politik bermula pada tahun 1945 apabila beliau bergerak cergas dalam beberapa kesatuan, antaranya Saberkas, Kesatuan Pemuda Melayu Kedah dan akhirnya dalam UMNO. Sewaktu di Universiti Malaya, Singapura beliau bersama dengan beberapa orang pelajar Melayu yang sedar telah mengemukakan satu memorandum menentang cadangan undang-undang kerakyatan yang dibuat oleh Jawatankuasa Perhubungan Kaum mengikut arahan British.
Dr. Mahathir buat pertama kalinya bertanding dalam pilihanraya umum sebagai calon Perikatan bagi Kawasan Parlimen Kota Star Selatan pada tahun 1964. Dengan kemenangannya dalam pilihanraya itu, beliau menjadi seorang 'back bencher' yang aktif dalam mengemukakan berbagai pendapat dan syor untuk pertimbangan Kerajaan. Bagi menghadapi propaganda Regim Sukarno terhadap Malaysia, beliau telah mengetuai rombongan Malaysia ke Persidangan Afro-Asian Peoples Solidarity Organisation di Ghana dan juga ke Persidangan World Assembly of Youth di Amherst, Amerika Syarikat. Pada masa itu sudah ternampak kecenderungannya terhadap satu dasar luar yang lebih bebas dan imaginatif supaya dapat menjamin keselamatan Malaysia serta penerimaannya oleh negara-negara lain.
Dalam pilihanraya umum 1969 yang mencetuskan rusuhan kaum itu, Dr. Mahathir tewas di tangan calon PAS. Beliau seterusnya dipecat dari UMNO kerana perselisihan pendapat dengan pucuk pimpinan UMNO. Pada masa ini beliau telah menghasilkan bukunya The Malay Dilemma bagi menerangkan masalah orang-orang Melayu dalam konteks perpaduan negara. Beliau diterima semula menyertai UMNO pada 7hb. Mac 1972 dan dilantik menjadi Ahli Dewan Negara pada tahun 1973. Dalam pilihanraya 1974, beliau bertanding di Kawasan Parlimen Kubang Pasu atas tiket Barisan Nasional dan menang tanpa bertanding. Berikutan dengan kemenangan itu, dilantik menjadi Menteri Pelajaran oleh Tun Abdul Razak. Perlantikan ini mengiktiraf minat Dr. Mahathir yang mendalam dalam bidang pengetahuan dan pendidikan. Pada tahun 1966 lagi beliau telah dilantik sebagai Pengerusi yang pertama Majlis Pelancaran Tinggi yang baru ditubuh.
Pada tahun 1972 beliau menjadi Ahli Majlis Penasihatan Pelajaran Tinggi dan juga pernah menjadi Ahli Universiti Court, Universiti Malaya. Sebagai Menteri Pelajaran, beliau telah membuat banyak perubahan-perubahan ke arah memesatkan lagi perkembangan pelajaran termasuk menambah bilangan pelajar-pelajar Melayu di pusat-pusat pengajian tinggi. Dr. Mahathir pada kemudian hari berusaha menubuhkan Universiti ke 6, dikenali dengan Universiti Utara Malaysia.
Dengan kembalinya ke rahmatullah Allahyarham Tun Abdul Razak pada awal tahun 1976, Tun Hussein Onn yang menjadi Perdana Menteri Malaysia yang baru telah melantik Dr. Mahathir sebagai timbalan Perdana Menteri. Ketika dilantik ke jawatan itu, Dr. Mahathir merupakan salah seorang Naib Presiden UMNO. Beliau mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Pelajaran. Dalam rombakan Kabinet pada 1hb. Januari, 1978, beliau berubah "portfolio" dari Kementerian Pelajaran kepada Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.
Dalam Perhimpunan Agung UMNO 1978, Dr. Mahathir memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO tanpa bertanding dan dalam Perhimpunan Agung UMNO Jun 1981 menjadi Presiden, juga tanpa bertanding. Berikutan dengan keputusan Tun Hussein Onn meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 1981, Dr. Mahathir secara otomatis menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat.




<
TUN ABDULLAH BIN HJ. AHMAD BADAWI





Tun Abdullah Ahmad Badawi dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-lima pada 31 Oktober 2003.
Tun Abdullah Ahmad Badawi dilahirkan pada 26 November 1939 di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Beliau menerima pendidikan menengah di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam dan di Penang Methodist Boys School, Pulau Pinang. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian di Universiti Malaya dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengajian Islam pada tahun 1964.
Tun Abdullah menyertai UMNO pada tahun 1964. Beliau mula bergerak aktif dalam arena politik setelah dipilih menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas pada tahun 1978 dan beliau berjaya mengekalkan kerusi parlimen tersebut sehingga kini. Beliau adalah ahli Majlis Tertinggi UMNO semenjak 1981. Tun Abdullah dipilih sebagai Naib Presiden UMNO pada tahun 1984 hingga 1990, dan dipilih semula memegang jawatan berkenaan pada tahun 1996. Pada Perhimpunan Agung UMNO 2000, Tun Abdullah dilantik sebagai Timbalan Presiden bagi penggal 2000 - 2003. Beliau dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang pada tahun 1999.
Tun Abdullah pernah memegang jawatan-jawatan penting dalam beberapa kementerian. Beliau dilantik sebagai Setiausaha Parlimen di Kementerian Wilayah Persekutuan (1978-80), Timbalan Menteri, Kementerian Wilayah Persekutuan (1980-81), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1981-84), Menteri Pelajaran (1984-86) dan Menteri Pertahanan (1986-87) . Pada 15 Mac 1991, beliau dilantik sebagai Menteri Luar sehingga Februari 1999 dan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri pada Februari 1999.
Tun Abdullah berkahwin dengan Datin Seri Endon binti Dato' Mahmood dan mereka dikurniakan dua cahaya mata
.









DATO' SERI NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK





Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd. Najib dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 pada 3 April 2009. Beliau menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang mengambil keputusan tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti.
Dato’ Sri Najib, anak sulung kepada Perdana Menteri Malaysia yang ke-2, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang. Beliau menerima pendidikan rendah dan menengah di St. John’s Institution. Beliau kemudiannya menyambung pelajaran peringkat menengah di Malvern Boy’s College, Worcestershire, England. Sebaik menamatkan pendidikan peringkat menengah, Dato’ Sri Najib melanjutkan pengajian di University of Nottingham sehingga memperoleh ijazah dalam ekonomi perindustrian pada 1974.
Sekembalinya ke tanah air, beliau berkhidmat sebagai eksekutif di syarikat petroleum Negara, Petronas selama dua tahun. Namun pemergian bapanya pada 1976, mendorong Dato’ Sri Najib menceburi bidang politik. Beliau dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kerusi Parlimen Pekan ekoran kematian bapanya. Kesedihan seluruh Negara ekoran pemergian Tun Abdul Razak dan sebagai menghargai sumbangan Allahyarham kepada pembangunan negara menyaksikan Dato’ Sri Najib memenangi kerusi Parlimen Pekan tanpa bertanding ketika berusia 23 tahun.
Saat itulah yang merubah corak kehidupan Dato’ Sri Najib yang mencurahkan khidmatnya dalam politik dan kerajaan. Ekoran kemenangan tanpa bertanding sebagai Ahli Parlimen Pekan pada 1976, Dato’ Sri Najib dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos. Beliau kemudiannya dilantik Timbalan Menteri Pelajaran dan selepas itu Timbalan Menteri Kewangan. Pada pilihan raya umum 1982, beliau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar di Pekan dan kemudiannya dilantik sebagai Menteri Besar Pahang sehingga tahun 1986.
Dato’ Sri Najib dilantik Menteri kebudayaan, Belia dan Sukan ekoran kemenangannya pada pilihan raya umum 1986 apabila beliau kembali bertanding kerusi Parlimen Pekan. Di bawah terajunya, Malaysia mencipta sejarah apabila buat pertama kali memperoleh pencapaian yang terbaik di Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA). Beliau juga memperkenalkan Dasar Sukan Negara yang menggariskan pembangunan sukan dan memperkenalkan ganjaran insentif kepada atlit negara yang berjaya memenangi pingat di Sukan Olimpik.
Pada tahun 1990, Dato’ Sri Najib dilantik sebagai Menteri Pertahanan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Beliau memacu Kementerian Pertahanan dengan memodenkan Angkatan Tentera Malaysia melalui peningkatan keupayaan, pemerolehan dan latihan strategik. Usaha pemodenan yang diperkenalkannya menyaksikan Malaysia memperoleh aset-aset baru seperti pesawat buatan Rusia, MiG 29, Boeing F18 Super Hornet, kapal frigate F-2000, artileri senjata 155m dan menaik taraf sistem pertahan udara negara dengan perolehan sistem radar baru. Soal kebajikan anggota Angkatan Tentera juga diberi perhatian oleh beliau termasuk meningkatkan kemudahan perumahan dan elaun anggota.
Pada tahun 1995, Dato’ Sri Najib dilantik menerajui kementerian yang lebih mencabar, iaitu sebagai Menteri Pelajaran. Di bawah terajunya, sistem pendidikan negara mengalami perubahan yang besar termasuk memperkenalkan Akta pelajaran 1996.
Perubahan demi perubahan yang diperkenalkannya menyaksikan sistem pelajaran negara terutama institusi pengajian tinggi mengalami perubahan besar apabila mereka dibenar menawarkan kursus yang lebih banyak, kepelbagaian pilihan dan pendekatan baru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran. Kini rakyat Malaysia mempunyai banyak pilihan dan tempat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Dalam pada itu, jumlah penuntut dari negara luar negara yang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tempatan dan asing di negara ini juga semakin bertambah.
Malah, Dato’ Sri Najib memainkan peranan yang besar untuk memperkenalkan sistem pendidikan bertaraf dunia di Malaysia dan meletakkan negara sebagai hab pembelajaran serantau dan pusat kecemerlangan. Di sebalik itu, perhatian lebih diberikan untuk melahirkan guru-guru terlatih menerusi meningkatkan sijil perguruan kepada status diploma, supaya guru-guru dalam kategori tersebut dapat menerima gaji permulaan bulanan yang lebih tinggi dan projek perumahan khas untuk guru-guru.
Pada pilihan raya umum 1999, Dato’ Sri Najib menerima keputusan mengejutkan apabila hanya memperoleh majoriti 241 undi di kawasan Parlimen Pekan yang majoriti pengundinya berketurunan Melayu, berbanding majoriti lebih 10,000 undi pada pilihan raya sebelumnya. Keputusan itu mengejutkan beliau dan para pemerhati politik. Bagaimanapun ia tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang amat mengejutkan memandangkan pilihan raya itu diadakan ketika suasana politik yang tidak menentu.
Selepas pilihan raya umum itu, beliau dilantik semula sebagai Menteri Pertahanan untuk kali kedua dan meneruskan usaha ke arah pemodenan Angkatan Tentera, setelah negara melepasi krisis ekonomi pada 1997. Antara perolehan utama termasuk pembelian pesawat termoden buatan Rusia, Sukhoi SU30 MKM, kapal selam yang sekian lama menjadi hasrat Tentera Laut Diraja Malaysia dan kereta kebal dari Poland. Juga sistem pertahan udara negara, Jernas untuk kegunaan Tentera Darat. Bagi anggota tentera, beberapa elaun dipertingkatkan termasuk elaun penerbangan untuk juruterbang tentera udara serta kadar gaji yang lebih tinggi bagi anggota baru.
Pilihan raya umum 2004 yang diadakan beberapa bulan selepas Dato’ Sri Najib dilantik Timbalan Perdana Menteri, menyaksikan beliau memenangi kerusi Parlimen Pekan dengan peningkatan majoriti mendadak iaitu 22,922 undi. Angka itu adalah majoriti tertinggi yang diperoleh pada pilihan raya berkenaan, sekali gus membuktikan kemampuan beliau memenangi hati pengundi sememangnya tidak boleh dipertikaikan.
Pada pilihan raya umum 2008, Dato’ Sri Najib sekali lagi memenangi kerusi parlimen Pekan dengan majoriti lebih besar iaitu 26,464 undi. Ia adalah majoriti paling besar bagi Barisan Nasional di sebalik penurunan sokongan rakyat kepada BN pada pilihan raya itu.
Beliau kekal sebagai Menteri Pertahanan sehingga September 2008 apabila mengambil alih jawatan Menteri Kewangan daripada Dato’ Sri Abdullah Ahmad Badawi. Pada Mac 2009, Dato’ Sri Najib memenangi jawatan Presiden UMNO tanpa bertanding selepas Dato’ Seri Abdullah memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan itu. Seterusnya pada April, Dato’ Seri Abdullah mengumumkan melepaskan jawatan Perdana menteri dan digantikan Dato’ Sri Najib yang kemudiannya mengangkat sumpah jawatan itu. Pada masa yang sama beliau masih memegang jawatan Menteri Kewangan.
Dato’ Sri Najib berkahwin dengan Datin Sri Rosmah Mansor dan dikurniakan lima cahaya mata.


















52 Tahun Kemerdekaan


Setelah 52 tahun mengecapi kemerdekaan, Malaysia membangun dengan penuh bergaya. Pembangunan yang dicapai begitu pantas dan dinamik. Kekukuhan ekonomi dan perpaduan kaum menjadi kunci kepada keutuhan kemerdakaan yang telah dilalui. Rakyat menikmati agihan kestabilan politik, kemewahan ekonomi dan keadilan sosial yang sama dan seimbang. Pendidikan terus memacu rakyat untuk menjadi bangsa yang moden, beradab dan dihormati. Malaysia harum di pentas dunia sebagai sebuah negara membangun yang maju dan stabil.
Beberapa mercu tanda seperti projek pengeluaran kereta nasional pertama Proton Saga yang merintis industri permotoran negara, pembinaan Menara Berkembar Kuala Lumpur yang pernah diiktiraf sebagai di Menara Tertinggi Di Dunia, pembinaan Litar Antarabangsa Sepang yang berjaya menaikkan imej negara khususnya dalam penganjuran sukan lumba kereta Formula One selain mengangkat nama Petronas dalam melahirkan tenaga mahir dalam bidang permotoran dan pelbagai lagi mercu tanda dan kejayaan yang dicapai menjadi produk kebanggaan rakyat Malaysia.
Persediaan menghadapi badai langit terbuka telah dilakukan dengan penubuhan Koridor Raya MultiMedia (Multimedia Super Corridor) agar setanding dengan Lembah Silikon di Amerika Syarikat. Pencapaian rakyat Malaysia juga tidak kurang hebatnya apabila sekumpulan pendaki berjaya menawan puncak Everest pada 15 Mei 1997, berenang merentasi selat Inggeris pada 3 Ogos 2003, ekspedisi penerjunan di kutub utara pada 2003 dan ekspedisi solo menawan benua Anrtartika pada 2004. Pada 10 Oktober 2007, angkasawan Malaysia yang pertama telah dihantar ke Stesyen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Suara Malaysia didengar di persada antarabangsa apabila suatu ketika, Malaysia mempelopori usaha menentang Dasar Apartheid di Afrika Selatan. Keamanan yang dicapai oleh negara dipohon oleh PBB untuk membawa misi tersebut di negara-negara seperti Congo (1960-1963), Somalia (1993-1994), Bosnia (1993-1998), Kampuchea (1991-1994), Angola (1991) dan Timor Leste (2006). Segala pencapaian cemerlang negara adalah cetusan pemimpin dan aspirasi rakyat yang digembeling bersama untuk menjadi Malaysia benar-benar cemerlang, gemilang dan terbilang.
Kini segala usaha yang digarap oleh seluruh lapisan rakyat menjadi hadiah yang amat berharga untuk sambutan 52 Tahun Kemerdekaan Malaysia. Menghadapi alaf baru yang penuh cabaran, rakyat Malaysia seharusnya lebih berwaspada. Biarpun suatu ketika dahulu, rakyat digembar-gemburkan dengan penjajahan bentuk baru melalui pengaruh pemikiran, ekonomi, sosial, adat dan budaya, ternyata, kini, penjajahan ke atas negara lemah dan mundur yang suatu ketika dahulu telah lama ditinggalkan oleh manusia bertamadun, kini kembali semula dalam bentuk dan alasan baru.
Kita juga dikepung oleh ledakan teknologi komunikasi maklumat dan era globalisasi yang menuntut lebih pengorbanan dan tanggungjawab daripada rakyat untuk terus mempertahankan kemerdekaan sedia ada. Dunia tanpa sempadan yang diperkenalkan kepada seluruh rakyat menuntut kita supaya lebih peka dengan persekitaran yang berlaku. Justeru, konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan akan menjadi wadah untuk rakyat membangunkan negara dengan penuh keimanan kepada tuhan, berilmu, kehidupan yang harmoni, agihan kekayaan yang adil, bertamadun dan beretika.

Erti Kemerdekaan



Kemerdekaan yang dikecapi bermakna kita bebas bukan sekadar daripada penjajahan fizikal malahan mencakupi spiritual dan mental. Erti kemerdekaan yang dinikmati ialah membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing seterusnya berusaha bangkit sebagai bangsa bermaruah. Kekuatan politik untuk memperolehi kemerdekaan perlu didokong oleh penguasaan ilmu pengetahuan untuk mempercepatkan proses pembangunan negara.
Menyorot kembali perjuangan kemerdekaan bangsa Melayu sejak 1511 hingga ke Perang Dunia Kedua 1941-1945, negara ini telah mengalami 3 peringkat perjuangan. Peringkat pertama, secara militan atau gerila, perjuangan pondok yang dipelopori oleh golongan ulama dan kemudian golongan nasionalisma yang berjuang melalui mata pena. Ketiga-tiga kategori perjuangan ini berjalan berasingan sehinggalah pada cadangan untuk mengadakan Kongres Melayu pertama pada 1-4 Mac 1946 diadakan dan menyatukan ketiga-tiga kategori perjuangan ini dengan lebih tersusun dan teratur. Terbentuknya UMNO semasa persidangan tersebut telah memantapkan lagi perjuangan ke arah menuntut kemerdekaan negara.
Menjadi tanggungjawab rakyat generasi baru hari ini untuk mengenang dan menghayati erti kemerdekaan. Tugas kita pada hari ini adalah memenuhi dadda dengan ilmu pengetahuan agar kemerdekaan yang dimiliki dapat dipertahankan dan dikekalkan. Tanpa ilmu pengetahuan, kemerdekaan yang baru sahaja diperolehi amat rapuh.
Rakyat perlu bersedia menghadapi pelbagai cabaran untuk memperkasakan bangsa yang merdeka. Sementelah seluruh rakyat Malaysia telah melalui pelbagai cabaran getir, kemerdekaan perlu dihayati dan diisi dengan memelihara kekuatan politik, ekonomi, sosial, agama, bahasa, budaya dan seni warisan bangsa. Segala jurang pembangunan, ekonomi dan sosial di kalangan kaum perlu dirapatkan dan diperkukuhkan agar saling menikmati erti kemerdekaan. Perpaduan yang terbina semenjak usaha memperolehi kemerdekaan perlu diteruskan dan disemai supaya rakyat menjadi semakin kukuh.
Bumi bertuah ini telah melahirkan ramai pemimpin berkaliber ketika negara bergelut dengan pelbagai masalah seperti kemiskinan, taraf pendidikan yang rendah, perpaduan kaum bahkan ancaman komunis ketika Darurat yang diisytiharkan sejak 1948 lagi. Dengan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru 1970-1990 (DEB), Rancangan Buku Hijau dan Buku Merah, rancangan mempertingkatkan penguasaan ekonomi penduduk bumiputera dan jurang perbezaaan antara kaum dapat diharmonikan. Dasar pendidikan bermula dari Penyata Razak dan Rahman Talib hingga kini berjaya membebaskan diri rakyat daripada belenggu kejahilan kepada masyarakat moden.
Beberapa dasar negara telah diperkenalkan seperti Dasar Pandang ke Timur, Dasar Perindustrian, Dasar Pensyarikatan dan Wawasan 2020 telah menjadikan Malaysia negara maju. Kemerdekaan menjadikan kita bangsa yang merdeka dan berdaulat serta bebas menyusun hala tuju sendiri. Kita bebas dari sudut ekonomi, politik, ketenteraan, budaya dan agama. Bebas dalam erti kata mengikut acuan dan kemahuan kita untuk membentuk jati diri bangsa Malaysia yang berdaulat.
Menyelami erti kemerdekaan dengan menyusuri lembaran sejarah bangsa akan menyedarkan seluruh rakyat betapa perjuangan kemerdekaan tidak pernah terhenti. Seharusnya kegemilangan ini menjadi pemangkin kepada generasi baru negara untuk meneruskan kecemerlangan yang telah dicapai. Pengorbanan generasi terdahulu perlu menjadi inspirasi untuk kita terus berusaha gigih menjadi bangsa yang maju dan moden
.

Di Ambang Kemerdekaan


Peristiwa Di Malam Bersejarah Menjelang malam 30 Ogos, kelihatan jalan-jalan sekitar Bandar Kuala Lumpur dipenuhi dengan kenderaan-kenderaan awam yang membawa bendera Persekutuan Tanah Melayu. Batu Road umpamanya, sesak dengan kereta, bas, beca, basikal serta pejalan-pejalan kaki. Tua dan muda bersama-sama melangkah berpusu-pusu menuju ke Padang Kelab Selangor. Suasana malam penuh meriah diterangi lampu-Iampu hiasan di jalan-jalan dan bangunan sekeliling. Banyak kedai-kedai di sepanjang Batu Road dibuka sehingga larut malam.
Sebuah pentas khas didirikan di padang itu dengan dihiasi dengan lampu yang berwama-warni sebagaimana juga di keliling padang. Di tengah-tengah padang terdapat tiga tiang bendera yang mengibarkan bendera UMNO di sebelah kanan, bendera Union Jack di tengah dan bendera Perikatan di sebelah kiri. Manakala berpuluh-puluh ribu rakyat jelata dari berbagai bangsa berkumpul di sekeliling padang sehingga ke jalan raya. Turut hadir pada malam itu ialah perwakilan-perwakilan rasmi, pemberita-pemberita dan jurugambar dari dalam dan luar negara serta Ketua-Ketua Parti Perikatan dari seluruh negeri.
Rentetan Peristiwa / Acara
10.00 malam Di padang, wakil ahli-ahli Perikatan yang terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC dari Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Singapura (12 delegasi) mengambil tempat di sekeliling 3 bahagian padang. Barisan hadapan memegang tali dan dengan jarak 6 kaki, seramai 2000 ahli-ahli Pemuda UMNO memegang satu lagi tali.
10.30 malam 300 Pemuda Perikatan membentuk perbarisan kehormatan mengambil tempat di tengah-tengah padang mengadap Jalan Raja (menara jam). Perbarisan ini diketuai oleh En. Ismail Bontak.
11.55 malam YTM Tunku Abdul Rahman diiringi 30 ahli-ahli Perikatan bermotorsikal (15 UMNO, 10 MCA, 5 MIC) dan 2 polis pengiring bermotorsikal (outriders) tiba di Jalan Raja. Perarakan bermotorsikal ini bermula dari rumah kediaman rasmi YTM Tunku Abdul Rahman.
Apabila tiba, YTM Tunku telah disambut oleh Dato' Abdul Razak bin Hussein, Encik Saadon Zubir (Ketua Pemuda UMNO), Dato' Sir Tan Cheng Lock (Yang Dipertua MCA) dan V. T. Sambantan (Yang Dipertua MIC). Tunku kemudiannya dibawa ke atas pentas menghadap ke tiga-tiga tiang bendera.
11.58 malam Semua lampu di padang dan disekelilingnya dipadamkan sehingga seluruh kawasan menjadi gelap gelita.
12.00 malam Lampu dipasang semula apabila jam besar berbunyi menandakan detik 12 malam tiba. Ini diikuti dengan laungan 'Merdeka' oleh orang ramai yang menggegarkan seluruh padang. [secara spontan]
Sepasukan 12 orang Pemuda dan Pemudi Perikatan yang terdiri dari 6 pemuda dan 6 pemudi (6 UMNO, 4 MCA, 2 MIC) tampil ke hadapan membawa 2 buah dulang. Satu dulang untuk diisi bendera Union Jack yang diturunkan dan sebuah dulang lagi berisi bendera Persekutuan Tanah Melayu. Dulang yang berisi bendera Persekutuan Tanah Melayu dibawa oleh Cik Dasimah Ibrahim yang diikuti oleh Encik Tahir Abdul Majid serta Cikgu Abdul Wahab.
Bendera Union Jack mula diturunkan oleh Encik Tahir Abdul Majid dengan diringi lagu God Save The Queen yang dimainkan buat kali terakhir sebagai tanda berakhimya pentadbiran British di Tanah Melayu. Penurunan bendera Union Jack disambut dengan tepukan yang bergemuruh dan laungan 'Merdeka' yang menggegarkan seluruh padang. [secara spontan]
Bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan.
12.10 malam Tunku Abdul Rahman menerima tabik hormat dari Barisan Kehormatan Pemuda UMNO, MCA dan MIC dan memeriksa perbarisan dengan diiringi oleh Encik Sardon Zubir. Kemudian Tunku mengelilingi padang dan memeriksa 12 kumpulan rombongan-rombongan UMNO, MCA dan MIC dari negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura.
Tunku Abdul Rahman mengambil tempat di atas pentas. Pasukan Pemuda Perikatan seramai 24 orang yang diketuai oleh Encik Abdul Majid Othman tampil membawa dulang yang berisi rantai emas yang tergantung padanya sebuah Pingat Emas yang berukir peta Semenanjung Tanah Melayu serta gambar Tunku di dalam peta itu. Di tepi bulatan peta itu, ditulis perkataan Bapa Kemerdekaan Tanah Air, iaitu gelaran yang diberikan oleh UMNO kepada Tunku.
Kalung emas dikalungkan ke leher Tunku oleh Encik Sardon Zubir diikuti dengan pekikan "Bapa Kemerdekaan Tanah Air" sebanyak tiga kali.
12.25 malam Tunku Abdul Rahman berucap.
12.55 malam
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Tuan Haji Massood Hayati.
1.10 malam Barisan Kehormatan berkawat di hadapan pentas untuk memberi tabik hormat kepada Tunku Abdul Rahman.
1.25 malam Tunku Abdul Rahman meninggalkan pentas.
1.30 malamAcara tamat.



Rentetan Peristiwa Pengisytiharaan Kemerdekaan
















01 Januari 1956Rombongan Kemerdekaan bertolak ke Karachi, Pakistan menaiki kapal laut bernama M.V. Asia.
01 Januari 1956Seramai 10,000 orang yang sebilangan besar terdiri daripada ahli-ahli UMNO telah menghantar Rombongan Kemerdekaan di Pelabuhan Tanjung Pagar, Singapura.
8 Januari 1956YTM Tunku dan Lennox Boyd(Setiausaha Tanah Jajahan Inggeris) menandatangani Perjanjian Merdeka di London.
20 Februari 1956 (11.00 pagi)YTM Tunku yang mengetuai Rombongan Kemerdekaan tiba di Lapangan Terbang Batu Berendam, Melaka dengan Malayan Airways.
20 Februari 1956Rombongan Merdeka yang diketuai oleh YTM Tunku Abdul Rahman disambut oleh lebih kurang 1,000 jawatankuasa penyambut daripada Parti Perikatan semasa tiba di Lapangan Terbang Batu Berendam, Melaka.20 Februari 1956YTM Tunku Abdul Rahman, Datuk Panglima Bukit Gantang, Toh Muda Hj. Abdul Wahab Abdul Aziz dan Leong Yew Koh telah diarak dengan kereta berwarna hitam bernombor plat M 4442 dari Batu Berendam hingga ke Klebang untuk berehat di rumah Tan Cheng Lock.
20 Februari 1956Rombongan Kemerdekaan berehat seketika di rumah Tan Cheng Lock di Klebang, Melaka dalam perjalanan dari Batu Berendam ke Padang Bandar Hilir, Melaka.
20 Februari 1956 (3.30 petang)Rombongan Kemerdekaan tiba di Padang Bandar Hilir, Melaka.
20 Februari 1956Orang ramai melaungkan 'Merdeka'setibanya Rombongan Kemerdekaan di Padang Bandar Hilir, Melaka.
20 Februari 1956En Ghafar Baba, mempengerusikan perhimpunan raksasa di Padang Bandar Hilir, Melaka.




20 Februari 1956YTM Tunku menjulang keris yang dihadiahkan oleh kaum ibu UMNO Melaka yang diwakili oleh Puan Zainab bt Samdin.20 Februari 1956Datuk Abdul Hamid Jumat, Ketua Cawangan UMNO Singapura sedang menyerahkan Peta Persekutuan Tanah Melayu termasuk Singapura pada YTM Tunku Abdul Rahman Putra di Padang Bandar Hilir, Melaka.




20 Februari 1956Orang ramai mendengar ucapan YTM Tunku Abdul Rahman di Padang Bandar Hilir, Melaka.




20 Februari 1956Ucapan oleh Datuk Panglima Bukit Gantang, Toh Muda Haji Abdul Wahab di Padang Bandar Hilir, Melaka.




20 Februari 1956Ucapan wakil MCA Leong Yew Koh di Padang Bandar Hilir, Melaka.




20 Februari 1956YTM Tunku Abdul Rahman membaca Watikah Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan yang disusun oleh En Senu Abdul Rahman, Tn Syed Nasir Ismail dan ditulis oleh En Ibrahim Mahmood (Pengarang Akhbar Merdeka).




20 Februari 1956Dr. Ismail (kiri) dan Dato' Abdul Razak (kanan) turut menandatangani pengisytiharan tarikh Kemerdekaan di Padang Bandar Hilir, Melaka.
20 Februari 1956Rombongan Kemerdekaan berarak keluar selepas mengumumkan tarikh kemerdekaan di Padang Bandar Hilir, Melaka.

Ke Arah Mencapai Kemerdekaan

Ketika arus kesedaran mengenai kemerdekaan kuat bergelora, Inggeris bimbang sekiranya orang Melayu mengalihkan sokongan mereka kepada parti berhaluan kiri seperti Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Kesatuan Melayu Muda (KMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Parti Komunis Malaya (PKM). Oleh itu, apabila Parti Perikatan, UMNO dan MCA begitu kuat mendesak mengadakan pilihanraya, Inggeris akhirnya tunduk menunaikan tuntutan dan tekanan mereka.
Pilihanraya Persekutuan pertama pada 27 Julai 1955 telah diadakan. Beberapa parti seperti UMNO, MCA, MIC, Parti Negara, PAS, Parti Buruh telah ikut serta dalam merebut 52 buah kerusi yang dipertandingkan. Bagi menunjukkan komitmen ke arah kemerdekaan sejagat, UMNO telah mengadakan kerjasama dengan MCA (yang ditubuhkan pada 27 Februari 1949) dan MIC (ditubuhkan pada Ogos 1946) membentuk Parti Perikatan untuk menghadapi pilihanraya tersebut.
Hasilnya mereka berjaya menguasai 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Ia menjadi asas kepada persefahaman untuk memenuhi tuntutan Inggeris bahawa kemerdekaan boleh dicapai dengan adanya kerjasama dan saling bertolak ansur antara kaum di Tanah Melayu. Manifestasi Perikatan ialah menjanjikan kemerdekaan dalam masa empat tahun. Pada 1Ogos 1955, Tunku Abdul Rahman membentuk Kabinet pertama yang dianggotai oleh 6 wakil Melayu, 3 wakil Cina dan 2 wakil India. Tunku Abdul Rahman selaku Ketua Menteri dan Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri. Antara barisan ahli yang lain ialah Datuk Abdul Razak Hussain, Dr. Ismail Datuk Abdul Rahman, En. H.S. Lee, En. Abd. Aziz Ishak, En. Baba Leong Yew Koh, En. Sardon Haji Jubir, Tun V.T. Sambathan, En. Sulaiman Datuk Abd. Rahman dan En. Bba Ong Yok Lin. Mereka mengangkat sumpah jawatan pada 9 Ogos 1955. Selain memenuhi syarat persefahaman antara kaum, Tunku Abdul Rahman dicabar supaya menyelesaikan isu pemberontakan komunis untuk mendapatkan kemerdekaan. Inggeris berjanji selagi ancaman komunis tidak ditangani, kemerdekaan mungkin lewat diberikan. Bagi menyahut cabaran tersebut, Tunku memilih cara diplomasi dengan mengadakan Rundingan Baling pada 28-29 Disember 1956 bersama Chin Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Melaya (PKM). Tindakan tersebut telah mencemaskan Inggeris yang selama ini berhadapan dengan PKM secara kekerasan.
Kebimbangan Inggeris memberikan kesan mempercepatkan lagi proses pemberian kemerdekaan. Ia memperlihatkan kebijaksanaan siasah Tunku Abdul Rahman. Sementara di pihak PKM, mereka menolak dengan angkuh permintaan Tunku untuk membubarkan partinya malah terus memilih untuk meneruskan penentangan bersenjata yang ternyata telah banyak membawa kesengsaraan khususnya kepada penduduk luar Bandar dan menggugat keselamatan dan ekonomi negara. Pada 18 Januari - 6 Februari 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai rombongan merundingkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
Rombongan tersebut turut disertai oleh beberapa pemimpin Parti Perikatan; Dato' Abdul Razak Hussein, Dr. Ismail Abdul Rahman, Kolonel H.S. Lee, Tuan T.H. Tan dan Encik Bahaman Shamsudin dan wakil Raja-Raja Melayu; Dato' Panglima Bukit Gantang, Dato' Nik Ahmad Kamil, Encik Abdul Aziz Majid dan Dato Mohd. Seth. Pada 8 Februari 1956, Perjanjian Merdeka telah dimetrai dengan menetapkan tarikh 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Sekembali dari London, Tunku Abdul Rahman telah membuat Pengisytiharan Kemerdekaan di Padang Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka pada 20 Februari 1956 dan disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan oleh seluruh rakyat. Selaras dengan persediaan menyambut kelahiran sebuah negara yang baru merdeka, sebuah suruhanjaya bebas yang dikenali sebagai Suruhanjaya Perlembagaan Reid telah dibentuk pada 21 Mac 1956 untuk mengkaji dan menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Pada 12.00 tengah malam 30 Ogos 1957, bendera Union Jack diturunkan di depan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur lantas bendera Persekutuan Tanah Melayu mengambl alih dan terus berkibar megah. Pada keesokan harinya, gema merdeka sebanyak tujuh kali memenuhi segenap pelosok Stadium Merdeka, Kuala Lumpur apabila upacara pengisytiharan kemerdekaan dibuat oleh Tunku Abdul Rahman. Hasil perjuangan seluruh orang Melayu dan gabungan beberapa kaum lain, akhirnya pada 31 Ogos 1957, Tanah Melayu berjaya merungkai rantai penjajahan yang sekian lama membelenggu peribuminya.


Friday, September 4, 2009

Sejarah Kemerdekaan


Suara tuntutan kemerdekaan telah lama kedengaran. Malangnya setelah Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945 apabila Hiroshima dan Nagasaki dibom, penjajah Inggeris kembali ke Tanah Melayu dengan niat menjadikan Tanah Melayu sebagai sebuah koloni.
Di Tanah Melayu, penyerahan kuasa secara rasmi oleh Jepun kepada Inggeris dibuat di Victoria Institution, Kuala Lumpur pada 22 Februari 1946. Inggeris telah memperkenalkan Malayan Union yang memberikan hak sama rata khususnya dalam isu kerakyatan kepada semua penduduk tanpa mengira keturunan dan kesetiaan mereka terhadap negara.
Malayan Union ternyata mendatangkan kerugian dan meminggirkan hak kaum Melayu dan bumiputera sebagai penduduk asal negara ini serta menjejaskan institusi dan fungsi Raja-Raja Melayu. Oleh itu, cadangan Inggeris memperkenalkan Malayan Union mendapat tentangan hebat seluruh orang Melayu termasuk Majlis Raja-Raja. Datuk Onn telah mengumpulkan lebih 200 perwakilan Melayu dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu pada 1 - 4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Sebuah jawatankuasa yang dianggotai oleh tokoh-tokoh seperti Dato Onn Jaafar, Dato Panglima Bukit Gantang, Dato Nik Ahmad Kamil, Dato Hamzah Abdullah dan En. Zainal Abidin (Za’ba) ditubuhkan.
Kongres bersetuju dengan cadangan untuk menubuhkan sebuah pertubuhan yang dinamakan United Malays National Organisation (UMNO) atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) yang akan dibentangkan dalam kongres akan datang. Dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-3 di Johor Bharu Dato’ Onn Jaafar mengumumkan penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946. penubuhan ini bertujuan untuk memperjuangkan sebuah negara Malaya merdeka dan berdaulat, memajukan dan memelihara kepentingan orang Melayu dan rakyat Malaya dan memelihara dan mempertahankan agama dan adat resam Melayu serta kedudukan institusi Raja-Raja Melayu.
Penentangan mereka berjaya mengubah Malayan Union kepada Perjanjian Persekutuan yang ditandatangani oleh Raja-Raja pada 21 Januari 1948 yang mengembalikan Tanah Melayu ke pangkuan orang Melayu; kedaulatan raja-raja, hak keistimewaan dan hak kewarganegaraan. Perjuangan orang Melayu berjaya membentuk Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi 9 buah negeri Melayu iaitu Selangor, Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, dan Negeri-Negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka. Ia diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British yang mempunyai kuasa eksekutif dan dibantu serta dinasihati oleh Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan dan Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan.
Kedudukan Majlis Raja-Raja berjaya diletakkan pada tempat yang lebih baik yang antara lain berfungsi menasihatkan Pesuruhjaya Tinggi mengenai dasar-dasar yang akan dilaksanakan di Persekutuan Tanah Melayu. Jawatan Residen diganti oleh seorang Menteri Besar. Sementara syarat-syarat kerakyatan diperketatkan melalui kuatkuasa undang-undang dan naturalisasi secara permohonan.
Selangkah orang Melayu terus mara dengan kesatuan yang bulat untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu. UMNO dipimpin oleh ramai tokoh yang terbilang seperti Datuk Onn Jaafar, Tun Abdul Razak, Ghaffar Baba, Dr. Ismail, Aziz Ishak, Sardon Jubir dan sebagainya untuk menyusuri jalan kemerdekaan. Pelantikan Tunku Abdul Rahman Putra menggantikan Dato’ Onn Jaafar yang meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua UMNO pada 26 Ogos 1951 nyata membuka lembaran baru dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.
Ternyata perjuangan berabad lamanya orang Melayu bermula sejak kejatuhan Kerajaan Melaka, orang Melayu bersama sultan atau pemimpin tempatan sentiasa cuba mengembalikan maruah bangsa dan negara. Perjuangan mereka dimulai secara perang gerila sebagaimana dirintis oleh bekas kesultanan Melaka (1511) dan kesultanan Johor, Raja Haji (1782), Dol Said (1831), Datuk Maharaja Lela, Datuk Sagor (1875), Datuk Bahaman, Mat Kilau (1891), Tok Janggut (1914), Haji Abdul Rahman Limbong (1928), Datu Mat Salleh (1894), Sharif Mashahor (1860), Rentap (1853) dan sebagainya.
Bentuk perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan pada sekitar awal 1900 mula digerakkan oleh golongan agama seperti Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, pergerakan Hizbul Muslimin, pondok agama Gunung Semanggol, begitu juga peranan Syeikh Abdullah Fahim, guru agama di Kepala Batas pada tahun-tahun 1930-an dan guru-guru Melayu khususnya dari Sultan Idris Training College.
Selepas itu, bentuk perjuangan berubah menggunakan tinta dan mata pena. Mereka daripada kalangan novelis, cerpenis, penyajak dan wartawan Melayu khususnya daipada Utusan Melayu banyak memberikan pendedahan mengenai perjuangan membebaskan diri daripada cengkaman penjajahan. Antara pelopornya ialah Zainal Abidin Ahmad (Za’ba), A. Rahim Kajai, Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Mohamad, Ahmad Boestamam, Usman Awang, Shahnon Ahmad dan ramai lagi hingga sebahagian daripada mereka menjadi buruan Inggeris dan dipenjarakan. Sesungguhnya apabila kita menyusuri akar perjuangan kemerdekaan, ternyata ia telah banyak menumpahkan keringat, darah dan air mata.