Wednesday, September 9, 2009

Puisi Merdeka


Patriotik


Kita langir keris pusaka
Dari cita semangat waja
Biar membara dupa bangsa
Dengan tangkas pencak
Sang wira di medan laga
Keramat loknya ditempa pandai besi
Ditinta kursani digenggaman pejuang sejati
Hei, tangkas langkahmu di tengah gelanggang
Bagai kijang bermukin di hutan
Kemas pencakmu berhadapan lawan
Bagai sang harimau siaga menerkam
Hei, jati diri kau pasakkan
Musuh kau tumbangkan
Rantai penjajah kau leburkan
Tegak sendi maruah bangsa
Pencak budi memaknakan merdeka
Oleh:Shukri Abdullah


MENCARI DAMAI ABADI
Aku cari bukan harta bertimbun-timbun
Untuk hidup kaya
Aku cari bukan wang berjuta-juta
Untuk hidup bergaya
Aku cari bukan kawan-kawan
Untuk hidup sekadar berfoya-foya
Aku cari mana dia al-Ghazali
Aku cari mana dia al-Shafie
Kita bongkar rahsia kitab suci, Cari pedoman
Kita bongkar rahsia sunnah Nabi, Cari panduan
Aku hidup kerana Dia Rabbi
Dialah teman, Dialah wali
Dia mencukupi, Aku hidup bererti
Menikmati damai abadi.

Monday, September 7, 2009

Semangat patriotik


































1 Malaysia


KETERANGAN LOGO 1 MALAYSIA
Melambangkan visi negara iaitu untuk mewujudkan satu masyarakat yang berpadu dan mempunyai semangat cintakan negara berpandukan Perlembagaan Negara dan Rukun Negara.
Mencerminkan rakyat Malaysia yang saling bekerjasama, bermuafakat, berdikari, berfikir dan menghayati satu visi untuk membina satu Negara Bangsa.
1Malaysia diwujudkan dengan tujuan untuk menyediakan satu forum yang bebas dan terbuka bagi membincangkan tentang perkara yang benar-benar dekat di hati kita sebagai satu bangsa. Ia menyediakan peluang untuk meluahkan dan menerokai kepelbagaian perspektif masyarakat kita. Apa yang menjadikan Malaysia unik adalah kepelbagaian rakyat kita. Matlamat 1Malaysia adalah untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan di dalam kepelbagaian ini yang selama ini menjadi kekuatan kita dan akan kekal sebagai bekalan terbaik kita untuk masa hadapan. Saya berharap agar laman web ini akan menjadi permulaan kepada satu dialog yang penting dan terbuka bagi menerokai identiti, tujuan dan hala tuju kita sebagai rakyat Malaysia. Saya menggalakkan setiap orang daripada anda menyertai saya dalam memberikan takrifan kepada Malaysia kita dan peranan yang perlu kita mainkan untuk masa hadapannya. Setiap kita – di sebalik segala perbezaan kita – berkongsi impian untuk satu masa hadapan yang lebih baik. Setiap kita mahukan peluang, dihormati, persahabatan dan saling memahami.

Saturday, September 5, 2009

Erti Merdeka

Bendera Malaysia


Bendera Malaysia mengandungi 14 jalur merah dan putih (melintang) yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah, tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri - Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu dan Kerajaan Persekutuan.
Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur merah yang kelima itu maknanya perpaduan rakyat Malaysia. Bahagian biru tua itu mengandungi anak bulan tanda Agama Islam - agama rasmi Malaysia. Bintang pecah 14 itu tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan. Warna kuning pada anak bulan dan bintang itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.
Semasa sambutan kemerdekaan ke 40, pada 31 Ogos 1997 Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah memilih nama Jalur Gemilang bagi bendera Malaysia.

Rakyat Malaysia




Tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia mempunyai pelbagai etnik yang tinggal dalam satu kawasan dan berjiran hidup dengan harmoni dan masing-masing bebas menjalankan aktiviti-aktiviti harian mereka tanpa sebarang gangguan.
Hujah ini dapat dikukuhkan lagi apabila pada musim perayaan mereka saling kunjung-mengunjung antara satu sama lain. Apabila tiba musim perayaan Tahun Baru Cina misalnya, rakan-rakan yang berbangsa Melayu dan India juga turut mengunjungi rumah rakan dan jiran yang berbangsa Cina untuk bersama merayakannya Kita sebagai warganegara Malaysia seharusnya bersyukur kerana dikurniakan keharmonian antara kaum maka benarlah jika dikatakan bahawa bandar di Malaysia menonjolkan imej yang baik kepada negara dari aspek perhubungan antara kaum.

Tokoh Negara Dato' Onn Jaafar








Dato' Onn lahir pada tahun 1895. Dato' Onn sejak kecil dipelihara oleh Sultan Ibrahim. Beliau mendapat pendidikan Melayu sebelum melanjutkan pelajaran ke England. Dato' Onn pernah bekerja sebagai wartawan pada tahun 1930. Pada tahun 1934, Dato' Onn menjadi pengarang Lembaga Malaya dan harian Lembaga. Disamping itu, Dato' Onn juga pernah menjadi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor. Semasa Zaman Pendudukan Jepun, Dato' Onn menjadi Ketua Pejabat Kawalan Makanan Negeri Johor.
Pada 1 hingga 4 Mac 1946, 41 persatuan Melayu menghadiri Kongres Melayu pertama yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman. Hasil daripada mesyuarat, sebuah badan yang mewakili orang Melayu menentang Malayan Union akan ditubuhkan. Kongres Melayu Ketiga kemudiannya diadakan di Istana Besar Johor Bahru pada bulan Mei, 1946. Kongres inilah yang melahirkan UMNO dengan Datuk Onn sebagai president yang pertama.
Pada 1 Oktober 1946, Datuk Onn Datuk Jaafar dilantik menjadi Menteri Besar Johor. Tiga tahun kemudian, Datuk Onn meletakkan jawatan Menteri Besar Johor dan menumpukan kepada UMNO. Di bawah kepimpinan Dato' Onn, UMNO telah berjaya memaksa kerajaan British membubarkan Malayan Union dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu. Persekutuan Tanah Melayu 1948 mengekalkan kedudukan Raja-raja Melayu, memperketatkan syarat-syarat kerakyatan dan memberi hak istimewa Melayu.
Dato' Onn bercadang untuk membuka keahlian UMNO kepada semua orang tanpa mengira kaum. Cadangan tersebut ditentangan. Oleh yang demikian, Dato' Onn meletakkan jawatan sebagai president UMNO apabila persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam diadakan pada 25 dan 26 Ogos 1951.Namun begitu, UMNO telah menggabungkan parti-parti yang dianggotai oleh kaum lain iaitu MCA dan MIC menjadi parti Perikatan pada tahun 1955.
Dato' Onn menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya selepas meninggalkan UMNO. Malangnya, parti tersebut tidak mendapat sokongan daripada orang Melayu. Pada tahun 1954, beliau menubuhkan Parti Negara mengganti Parti Kemerdekaan Malaya. Tujuan penubuhan parti tersebut adalah untuk bertanding dalam pilihan raya umum yang pertama pada tahun 1955. Sekali lagi, partinya gagal mendapat sokongan dan tidak memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya umum.
Walau bagaimanapun, beliau masih berusaha untuk mendapatkan tempat dalam politik. Akhirnya, beliau berjaya mendapat satu kerusi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu Selatan dalam pilihan raya Persekutuan 1959. Dato' Onn meninggal dunia pada tahun 1962. Namun, tidak siapa pun yang dapat melupakan jasa Dato' Onn kepada negara dan bangsa. Dato Onn Jaafar mendirikan rumah tangga bersama Datin Halimah Hussein, dan salah seorang daripada anak mereka termasuk Allahyaraham Tun Hussein bin Dato' Onn.
Natijahnya, Dato' Onn mempunyai pandangan yang berbeza dengan ahli-ahli UMNO yang lain. Beliau ingin membuka pintu UMNO kepada kaum-kaum lain menyertainya tetapi ahli-ahli UMNO menggangap tindakan ini sebagai satu ancaman. Walau bagaimanapun, Dato' Onn tetap merupakan seorang yang berani dan berusaha dengan bersungguh-sungguh demi negara dan bangsa.






TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA AL- HAJ





Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj dilahirkan pada 8 Februari 1903 di Alor Star, Kedah. Ayahandanya Sultan Abdul Hamid adalah memerintah Negeri Kedah pada masa itu dan mempunyai beberapa isteri termasuk bonda Tunku bernama Menjalara. Bonda yang dicintai itu adalah seorang keturunan Thai anak kepada Luang Novaborirak (Kleb), seorang pembesar di salah sebuah negeri Shan Utara Thailand.
Ini bermakna Tunku diiahirkan di istana sepertimana beberapa tokoh UMNO yang lain. Beliau putera raja yang mempunyai adik beradik yang ramai dan kaum kerabat yang besar jumlahnya,tetapi tidak dalam lingkungan yang akan mewarisi tahkta kerajaan negeri. Tuhan telah menentukannya menjadi pemimpin rakyat seluruh negara Pemerintahnya itu tidak berdasarkan warisan tetapi atas pemilihan rakyat.
Pada waktu kecilnya belajar di salah sebuah sekolah Melayu di Alor Star sebelum belajar di Bangkok dalam sebuah Sekolah Thai. Kemudiannya Tunku pulang ke Kedah dan menyambung pelajaran di sekolah Melayu pada tahun 1916, sebelum memasuki Penang Free School. Kemudiannya beliau dihantarkan oleh keluarganya ke seberang laut untuk menuntut pelajaran di St. Catherine's College, Universiti Cambridge, England.
Walaupun rekod akademiknya tidak suatu yang boleh dibanggakan, beliau adalah orang Melayu yang pertama dari Kedah yang lulus dari sesebuah Universiti Inggeris pada tahun 1925 dengan mendapat ijazah B.A dalam Sastera. Beliau pulang ke Tanah Melayu dengan ijazah tetapi abang tuanya, menghantarnya kembali ke England supaya belajar undang-undang di Inner Temple. Nampaknya kali ini beliau tidak begitu berminat dalam pelajarannya; hasilnya Tunku gagal dalam peperiksaan dan pulang ke Tanah Melayu pada tahun 1931.
Apabila kembali ke tanahair Tunku bertugas dalam perkhidmatan Awam Negeri Kedah dan antara lainnya pemegang jawatan sebagai Pegawai Daerah di Kulim dan Sungai Patani. Di waktu perang Jepun, Tunku memainkan peranan yang penting menyelamatkan keluarganya. Apabila ayahandanya Sultan Abdul Hamid cuba dibawa oleh British ke Pulau Pinang supaya terselamat dari serangan Jepun, Tunku menculiknya dan membawanya ke Kulim. Di sanalah ayahandanya tinggal bersama-sama rakyat di waktu pendudukan Jepun.









TUN ABDUL RAZAK BIN DATO' HUSSIEN





Tun Abdul Razak Bin Datuk Hussein dilahirkan pada 11hb. Mac, 1922 di Pulau Keladi, Pekan, Pahang. Beliau dibesarkan oleh datuknya di Kampung Jambu, Langgar, Pekan, dalam suasana kampung yang penuh disiplin. Di Sekolah Melayu kampung inilah Abdul Razak mendapat pendidikan awal. Beliau terpaksa berulang-alik sejauh empat batu dengan berjalan kaki dari rumah ke sekolah. Semasa dari sekolah rendah lagi Tun Abdul Razak telah menunjukkan kemampuan yang cemerlang dalam bidang pelajaran. Setiap tahun beliau dapat menggondol hadiah-hadiah dalam kelas.
Sewajarnyalah beliau dihantar ke Maktab Melayu Kuala Kangsar dan kemudiannya ke Raftles College Singapura untuk melanjutkan pelajarannya. Semasa di Maktab Melayu dan Raffles College itu, beliau aktif di dalam persatuan dan aktiviti sukan. Kecekapannya terbukti lagi apabila beliau berjaya menamatkan pengajian undang-undang di Lincoln's Inn, London hanya dalam tempoh lapan belas bulan.
Semasa di London, Tun Abdul Razak tidak mensia-siakan peluang yang diberikan kepadanya. Beliau menggunakan masa yang ada untuk mendalami bidang politik dan memupuk konsep hidup dengan pemikiran yang luas. Aktif dalam kegiatan-kegiatan pelajar, beliau kemudiannya menubuhkan Malayan Forum yang dipengaruhi oieh Parti Buruh British untuk memberi kesedaran politik kepada anak-anak Persekutuan Tanah Melayu. Beliau juga menganggotai Persatuan Fabian dan Malayan Student's Union. Beliau terpaksa kembali ke tanahair dan memberhentikan pelajaran lanjutannya kerana kematian ayahnya pada bulan April 1950. Sekembalinya ke tanahair, beliau berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Pahang sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan dan dua tahun kemudian beliau dilantik menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang. Kejayaan beliau dalam perkhidmatan awam ini selari dengan penglibatan beliau dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.
Empat bulan selepas menganggotai UMNO, beliau dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO. Ini diikuti pula dengan perlantikannya sebagai Ahli Tidak Rasmi Majlis Undangan Persekutuan pada Ihb. Februari, 1951. Dalam tahun 1951 apabila Tunku Abdul Rahman menjadi Yang Dipertua UMNO beliau yang berumur 29 tahun dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Dari sini bermulalah satu percantuman tenaga yang bersejarah dan begitu gigih dalam perjuangan mencapai kemerdekaan dan seterusnya membina sebuah negara yang maju. Tun Abdul Razak juga menjawat jawatan Pemangku Menteri Besar Pahang selama beberapa bulan pada tahun 1955. Sebagai orang nombor dua kepada Tunku, beliau turut membuat draf-draf untuk dimuatkan dalam Perlembagaan Tanah Melayu dan menyertai rombongan menuntut Kemerdekaan ke London pada tahun 1956. Setelah Kemerdekaan dicapai waktu umur Tun 35 tahun bermulalah perkhidmatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri yang menjangkau lebih 13 tahun.
Dalam tempoh ini beliau telah memegang beberapa portfolio, termasuk Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Halehwal Dalam Negeri. Sebagai Menteri Pelajaran yang pertama, beliau telah melahirkan Penyata Razak 1956 bertujuan menyatupadukan rakyat berbagai kaum. Dasar Pelajaran Kebangsaan yang berasaskan Penyata ini adalah mendukung bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Dengan menggunakan perantaraan Bahasa Kebangsaan dan kandungan pelajaran yang sama di semua sekolah, semangat perpaduan dan kerjasama di kalangan murid-murid dari berbagai kaum dapat disemai. Semangat dasar pelajaran inilah yang menjadi asas mewujudkan generasi muda yang sihat dan berpelajaran sebagai sumber tenaga pembangunan.
Konsep demokrasi Tun Razak berasaskan keseimbangan sosial dan ekonomi di mana semua rakyat dapat memainkan peranan dalam kemajuan negara. Pembangunan negara sangat besar ertinya sebab menurut beliau benteng terbesar pertahanan kedaulatan negara bukan sahaja terletak pada pertahanan tetapi yang lebih penting ialah pembangunan. Gerakan pembangunan luar bandar dipelopori oleh beliau dengan langkah pertama ialah merangka satu dasar pembangunan yang meliputi setiap aspek keperluan negara. Ini dikenali sebagai "Buku Merah" yang dilengkapi dengan "Bilik Gerakan" yang mencatitkan butir-butir rancangan setiap daerah termasuk segala kemajuan dan kegagalan rancangan-rancangan tersebut.
Tun telah berusaha dengan gigihnya untuk menjamin supaya pendapatan petani-petani setimpal dengan usaha-usaha mereka. Beliau telah membentuk berbagai agensi Kerajaan untuk mencapai matlamat ini, dan yang paling berkesan ialah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan dan Negeri-Negeri. Kemajuan yang berlipat ganda jelas dari jumlah tanah yang dibuka, jenis-jenis tanaman yang diusahakan, bilangan murid-murid yang disekolahkan, berbagai perusahaan dan kemudahan-kemudahan bantuan kewangan dan teknik yang disediakan. Di waktu Tun jugalah melihat penyertaan orang-orang Melayu dan bumiputra secara lebih pesat dalam perniagaan khasnya dengan penubuhan agensi-agensi seperti MARA, PERNAS dan lain-lain hasil dari cadangan-cadangan oleh Kongres-Kongres Ekonomi Bumiputra yang diadakan.
Pendek kata, segala bentuk pembangunan yang dirasakan oleh rakyat masa kini adalah sebahagian besarnya atas daya usaha dan kemahuan tegas dari Tun Abdul Razak. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan perkembangan politik yang bersejarah di Malaysia walaupun ianya disambut dengan tentangan hebat oleh pihak-pihak yang tertentu. Ketokohan Tun sebagai Menteri Pertahanan mendapat ujian. Akhirnya krisis dapat diselesaikan secara damai. Memang wajarlah Tun dikenali bukan sahaja sebagai Bapa Pembangunan tetapi juga sebagai Bapa Perdamaian.





TUN DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD





Datuk Seri Dr. Mahathir bin Mohamad dilahirkan pada 20hb. Disember, 1925 bersamaan 4 Jamadilakhir 1344, di No. 18, Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Star, Kedah. Ayahnya, Mohamad bin Iskandar adalah guru bahasa bahasa Inggeris, dikenali dengan panggilan "Master", juga adalah Guru Besar pertama Sekolah Inggeris di Alor Star, sekarang dikenali sebagai Maktab Sultan Abdul Hamid. Antara murid-murid ayahnya termasuklah Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Dr. Mahathir adalah anak bongsu dari sembilan adik beradik (lima lelaki dan tiga perempuan) Ibunya, Wan Tempawan binti Wan Hanafi mempunyai kaitan keturunan dengan Wan Mat Saman, iaitu bekas Menteri Besar Kedah yang berusaha membangunkan pertanian di Kedah melalui terusan yang terkenal dengan nama 'Terusan Wan Mohamad Saman' (Wan Mohamad Saman Canal atau Sungai Korok).
Dr. Mahathir mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak dan kemudiannya di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Star di mana beliau tamat pelajaran menengah di peringkat Senior Cambridge. Pada tahun 1948, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Universiti Malaya, Singapura dan lulus dengan Ijazah MBBS pada tahun 1953.
Setelah lulus, Dr. Mahathir bertugas sebagai doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang. Pada tahun 1954, beliau dilantik menjadi pegawai perubatan dan pernah bertugas di Hospital Besar Alor Star, Pulau Langkawi dan Perlis. Pada tahun 1957, beliau meninggalkan perkhidmatan perubatan dan membuka kliniknya sendiri yang dikenali sebagai MAHA Klinik, mula-mula di Jalan Tunku Ibrahim dan kemudian berpindah ke Pekan Melayu, Alor Star. Ini merupakan klinik anak Melayu yang pertama di Alor Star. Penglibatannya dalam politik bermula pada tahun 1945 apabila beliau bergerak cergas dalam beberapa kesatuan, antaranya Saberkas, Kesatuan Pemuda Melayu Kedah dan akhirnya dalam UMNO. Sewaktu di Universiti Malaya, Singapura beliau bersama dengan beberapa orang pelajar Melayu yang sedar telah mengemukakan satu memorandum menentang cadangan undang-undang kerakyatan yang dibuat oleh Jawatankuasa Perhubungan Kaum mengikut arahan British.
Dr. Mahathir buat pertama kalinya bertanding dalam pilihanraya umum sebagai calon Perikatan bagi Kawasan Parlimen Kota Star Selatan pada tahun 1964. Dengan kemenangannya dalam pilihanraya itu, beliau menjadi seorang 'back bencher' yang aktif dalam mengemukakan berbagai pendapat dan syor untuk pertimbangan Kerajaan. Bagi menghadapi propaganda Regim Sukarno terhadap Malaysia, beliau telah mengetuai rombongan Malaysia ke Persidangan Afro-Asian Peoples Solidarity Organisation di Ghana dan juga ke Persidangan World Assembly of Youth di Amherst, Amerika Syarikat. Pada masa itu sudah ternampak kecenderungannya terhadap satu dasar luar yang lebih bebas dan imaginatif supaya dapat menjamin keselamatan Malaysia serta penerimaannya oleh negara-negara lain.
Dalam pilihanraya umum 1969 yang mencetuskan rusuhan kaum itu, Dr. Mahathir tewas di tangan calon PAS. Beliau seterusnya dipecat dari UMNO kerana perselisihan pendapat dengan pucuk pimpinan UMNO. Pada masa ini beliau telah menghasilkan bukunya The Malay Dilemma bagi menerangkan masalah orang-orang Melayu dalam konteks perpaduan negara. Beliau diterima semula menyertai UMNO pada 7hb. Mac 1972 dan dilantik menjadi Ahli Dewan Negara pada tahun 1973. Dalam pilihanraya 1974, beliau bertanding di Kawasan Parlimen Kubang Pasu atas tiket Barisan Nasional dan menang tanpa bertanding. Berikutan dengan kemenangan itu, dilantik menjadi Menteri Pelajaran oleh Tun Abdul Razak. Perlantikan ini mengiktiraf minat Dr. Mahathir yang mendalam dalam bidang pengetahuan dan pendidikan. Pada tahun 1966 lagi beliau telah dilantik sebagai Pengerusi yang pertama Majlis Pelancaran Tinggi yang baru ditubuh.
Pada tahun 1972 beliau menjadi Ahli Majlis Penasihatan Pelajaran Tinggi dan juga pernah menjadi Ahli Universiti Court, Universiti Malaya. Sebagai Menteri Pelajaran, beliau telah membuat banyak perubahan-perubahan ke arah memesatkan lagi perkembangan pelajaran termasuk menambah bilangan pelajar-pelajar Melayu di pusat-pusat pengajian tinggi. Dr. Mahathir pada kemudian hari berusaha menubuhkan Universiti ke 6, dikenali dengan Universiti Utara Malaysia.
Dengan kembalinya ke rahmatullah Allahyarham Tun Abdul Razak pada awal tahun 1976, Tun Hussein Onn yang menjadi Perdana Menteri Malaysia yang baru telah melantik Dr. Mahathir sebagai timbalan Perdana Menteri. Ketika dilantik ke jawatan itu, Dr. Mahathir merupakan salah seorang Naib Presiden UMNO. Beliau mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Pelajaran. Dalam rombakan Kabinet pada 1hb. Januari, 1978, beliau berubah "portfolio" dari Kementerian Pelajaran kepada Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.
Dalam Perhimpunan Agung UMNO 1978, Dr. Mahathir memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO tanpa bertanding dan dalam Perhimpunan Agung UMNO Jun 1981 menjadi Presiden, juga tanpa bertanding. Berikutan dengan keputusan Tun Hussein Onn meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 1981, Dr. Mahathir secara otomatis menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat.




<
TUN ABDULLAH BIN HJ. AHMAD BADAWI





Tun Abdullah Ahmad Badawi dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-lima pada 31 Oktober 2003.
Tun Abdullah Ahmad Badawi dilahirkan pada 26 November 1939 di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Beliau menerima pendidikan menengah di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam dan di Penang Methodist Boys School, Pulau Pinang. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian di Universiti Malaya dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengajian Islam pada tahun 1964.
Tun Abdullah menyertai UMNO pada tahun 1964. Beliau mula bergerak aktif dalam arena politik setelah dipilih menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas pada tahun 1978 dan beliau berjaya mengekalkan kerusi parlimen tersebut sehingga kini. Beliau adalah ahli Majlis Tertinggi UMNO semenjak 1981. Tun Abdullah dipilih sebagai Naib Presiden UMNO pada tahun 1984 hingga 1990, dan dipilih semula memegang jawatan berkenaan pada tahun 1996. Pada Perhimpunan Agung UMNO 2000, Tun Abdullah dilantik sebagai Timbalan Presiden bagi penggal 2000 - 2003. Beliau dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang pada tahun 1999.
Tun Abdullah pernah memegang jawatan-jawatan penting dalam beberapa kementerian. Beliau dilantik sebagai Setiausaha Parlimen di Kementerian Wilayah Persekutuan (1978-80), Timbalan Menteri, Kementerian Wilayah Persekutuan (1980-81), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1981-84), Menteri Pelajaran (1984-86) dan Menteri Pertahanan (1986-87) . Pada 15 Mac 1991, beliau dilantik sebagai Menteri Luar sehingga Februari 1999 dan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri pada Februari 1999.
Tun Abdullah berkahwin dengan Datin Seri Endon binti Dato' Mahmood dan mereka dikurniakan dua cahaya mata
.









DATO' SERI NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK





Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd. Najib dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 pada 3 April 2009. Beliau menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang mengambil keputusan tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti.
Dato’ Sri Najib, anak sulung kepada Perdana Menteri Malaysia yang ke-2, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang. Beliau menerima pendidikan rendah dan menengah di St. John’s Institution. Beliau kemudiannya menyambung pelajaran peringkat menengah di Malvern Boy’s College, Worcestershire, England. Sebaik menamatkan pendidikan peringkat menengah, Dato’ Sri Najib melanjutkan pengajian di University of Nottingham sehingga memperoleh ijazah dalam ekonomi perindustrian pada 1974.
Sekembalinya ke tanah air, beliau berkhidmat sebagai eksekutif di syarikat petroleum Negara, Petronas selama dua tahun. Namun pemergian bapanya pada 1976, mendorong Dato’ Sri Najib menceburi bidang politik. Beliau dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kerusi Parlimen Pekan ekoran kematian bapanya. Kesedihan seluruh Negara ekoran pemergian Tun Abdul Razak dan sebagai menghargai sumbangan Allahyarham kepada pembangunan negara menyaksikan Dato’ Sri Najib memenangi kerusi Parlimen Pekan tanpa bertanding ketika berusia 23 tahun.
Saat itulah yang merubah corak kehidupan Dato’ Sri Najib yang mencurahkan khidmatnya dalam politik dan kerajaan. Ekoran kemenangan tanpa bertanding sebagai Ahli Parlimen Pekan pada 1976, Dato’ Sri Najib dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos. Beliau kemudiannya dilantik Timbalan Menteri Pelajaran dan selepas itu Timbalan Menteri Kewangan. Pada pilihan raya umum 1982, beliau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar di Pekan dan kemudiannya dilantik sebagai Menteri Besar Pahang sehingga tahun 1986.
Dato’ Sri Najib dilantik Menteri kebudayaan, Belia dan Sukan ekoran kemenangannya pada pilihan raya umum 1986 apabila beliau kembali bertanding kerusi Parlimen Pekan. Di bawah terajunya, Malaysia mencipta sejarah apabila buat pertama kali memperoleh pencapaian yang terbaik di Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA). Beliau juga memperkenalkan Dasar Sukan Negara yang menggariskan pembangunan sukan dan memperkenalkan ganjaran insentif kepada atlit negara yang berjaya memenangi pingat di Sukan Olimpik.
Pada tahun 1990, Dato’ Sri Najib dilantik sebagai Menteri Pertahanan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Beliau memacu Kementerian Pertahanan dengan memodenkan Angkatan Tentera Malaysia melalui peningkatan keupayaan, pemerolehan dan latihan strategik. Usaha pemodenan yang diperkenalkannya menyaksikan Malaysia memperoleh aset-aset baru seperti pesawat buatan Rusia, MiG 29, Boeing F18 Super Hornet, kapal frigate F-2000, artileri senjata 155m dan menaik taraf sistem pertahan udara negara dengan perolehan sistem radar baru. Soal kebajikan anggota Angkatan Tentera juga diberi perhatian oleh beliau termasuk meningkatkan kemudahan perumahan dan elaun anggota.
Pada tahun 1995, Dato’ Sri Najib dilantik menerajui kementerian yang lebih mencabar, iaitu sebagai Menteri Pelajaran. Di bawah terajunya, sistem pendidikan negara mengalami perubahan yang besar termasuk memperkenalkan Akta pelajaran 1996.
Perubahan demi perubahan yang diperkenalkannya menyaksikan sistem pelajaran negara terutama institusi pengajian tinggi mengalami perubahan besar apabila mereka dibenar menawarkan kursus yang lebih banyak, kepelbagaian pilihan dan pendekatan baru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran. Kini rakyat Malaysia mempunyai banyak pilihan dan tempat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Dalam pada itu, jumlah penuntut dari negara luar negara yang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tempatan dan asing di negara ini juga semakin bertambah.
Malah, Dato’ Sri Najib memainkan peranan yang besar untuk memperkenalkan sistem pendidikan bertaraf dunia di Malaysia dan meletakkan negara sebagai hab pembelajaran serantau dan pusat kecemerlangan. Di sebalik itu, perhatian lebih diberikan untuk melahirkan guru-guru terlatih menerusi meningkatkan sijil perguruan kepada status diploma, supaya guru-guru dalam kategori tersebut dapat menerima gaji permulaan bulanan yang lebih tinggi dan projek perumahan khas untuk guru-guru.
Pada pilihan raya umum 1999, Dato’ Sri Najib menerima keputusan mengejutkan apabila hanya memperoleh majoriti 241 undi di kawasan Parlimen Pekan yang majoriti pengundinya berketurunan Melayu, berbanding majoriti lebih 10,000 undi pada pilihan raya sebelumnya. Keputusan itu mengejutkan beliau dan para pemerhati politik. Bagaimanapun ia tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang amat mengejutkan memandangkan pilihan raya itu diadakan ketika suasana politik yang tidak menentu.
Selepas pilihan raya umum itu, beliau dilantik semula sebagai Menteri Pertahanan untuk kali kedua dan meneruskan usaha ke arah pemodenan Angkatan Tentera, setelah negara melepasi krisis ekonomi pada 1997. Antara perolehan utama termasuk pembelian pesawat termoden buatan Rusia, Sukhoi SU30 MKM, kapal selam yang sekian lama menjadi hasrat Tentera Laut Diraja Malaysia dan kereta kebal dari Poland. Juga sistem pertahan udara negara, Jernas untuk kegunaan Tentera Darat. Bagi anggota tentera, beberapa elaun dipertingkatkan termasuk elaun penerbangan untuk juruterbang tentera udara serta kadar gaji yang lebih tinggi bagi anggota baru.
Pilihan raya umum 2004 yang diadakan beberapa bulan selepas Dato’ Sri Najib dilantik Timbalan Perdana Menteri, menyaksikan beliau memenangi kerusi Parlimen Pekan dengan peningkatan majoriti mendadak iaitu 22,922 undi. Angka itu adalah majoriti tertinggi yang diperoleh pada pilihan raya berkenaan, sekali gus membuktikan kemampuan beliau memenangi hati pengundi sememangnya tidak boleh dipertikaikan.
Pada pilihan raya umum 2008, Dato’ Sri Najib sekali lagi memenangi kerusi parlimen Pekan dengan majoriti lebih besar iaitu 26,464 undi. Ia adalah majoriti paling besar bagi Barisan Nasional di sebalik penurunan sokongan rakyat kepada BN pada pilihan raya itu.
Beliau kekal sebagai Menteri Pertahanan sehingga September 2008 apabila mengambil alih jawatan Menteri Kewangan daripada Dato’ Sri Abdullah Ahmad Badawi. Pada Mac 2009, Dato’ Sri Najib memenangi jawatan Presiden UMNO tanpa bertanding selepas Dato’ Seri Abdullah memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan itu. Seterusnya pada April, Dato’ Seri Abdullah mengumumkan melepaskan jawatan Perdana menteri dan digantikan Dato’ Sri Najib yang kemudiannya mengangkat sumpah jawatan itu. Pada masa yang sama beliau masih memegang jawatan Menteri Kewangan.
Dato’ Sri Najib berkahwin dengan Datin Sri Rosmah Mansor dan dikurniakan lima cahaya mata.